Wednesday 17 October 2012

10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi
hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa
yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita
dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara
remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa
kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur.
Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang
berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah sendiri lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah,dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.
Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang
dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini
juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Mimpi

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di
pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
Credit: Kini2u

Persediaan menyambut kelahiran / anak pertama

Untuk mengelak daripada kekecohan apabila tanda-tanda kelahiran muncul, puan dinasihatkan untuk membuat persediaan awal bagi beg dan barang keperluan puan ketika di hospital. Barang-barang untuk diri puan (baju, kain, tuala, berus gigi) dan juga untuk bayi puan perlu dikemas dan disediakan dua atau tiga minggu sebelum tarikh jangkaan kelahiran bayi puan.

Apabila masa semakin hampir dengan tarikh kelahiran, beberapa tanda boleh muncul yang menunjukkan kelahiran akan berlaku. Puan perlu tahu perkara ini supaya langkah yang tepat dapat diambil tanpa ‘panik’.

Pada akhir tempoh kandungan, kekerasan perut rahim semakin kerap berlaku. Kekerasan ini berlaku tanpa diiringi dengan kesakitan. Keadaan ini dipanggil “Braxton Hicks contraction”.

Beberapa tanda yang mungkin berlaku apabila proses kelahiran bermula adalah seperti berikut:

1. Show atau tanda: Keadaan ini berlaku apabila terdapat mukus (lendir) yang bercampur dengan darah di faraj. Pengeluaran mukus yang berdarah ini menunjukkan lubang serviks sudah mula terbuka yang menyebabkan mukus ini terkeluar. Tanda ini adalah yang paling awal (pertama) lazim berlaku.

2.  Pecah air ketuban: Tekanan disebabkan oleh pengecutan (kontraksi) rahim menyebabkan pembocoran selaput karung bayi. Air ketuban tidak mempunyai warna tetapi berbau hanyir berbanding dengan air kencing yang berwarna kuning dan berbau hancing. Air ketuban ini keluar melalui lubang kebocoran dengan cara lelehan sedikit demi sedikit ataupun secara tumpahan air yang banyak. Air ketuban yang berwarna hijau menunjukkan bahawa bayi sudah pun membuang najisnya sebelum dilahirkan. Pembuangan najis (meconium) ini mungkin disebabkan oleh bayi yang lemas atau bayi yang terlebih matang.

3. Kesakitan di bahagian perut dan belakang seperti senggugut (tetapi kesakitan ini lebih teruk daripada senggugut). Kesakitan ini akan datang secara berkala. Kekerapan kesakitan akan berlaku sekurang-kurangnya setiap 10 minit. Tempoh kesakitan pula berlaku selama 20 hingga 40 saat. Apabila proses kelahiran sebenar tiba, kekerapan kesakitan semakin rapat iaitu setiap dua atau tiga minit sekali dan tahap kesakitan bertambah kuat.

Puan perlu membuat persediaan untuk ke hospital apabila kesakitan kerap berlaku iaitu setiap lima dan 15 minit dan kesakitan ini tidak hilang apabila puan cuba berehat atau berjalan-jalan. Jangan panik kerana proses bersalin memakan masa yang agak panjang terutamanya bagi ibu yang akan melahirkan anak yang pertama (lazimnya lapan hingga 12 jam). Tanda-tanda ini tidak semestinya datang secara turutan seperti di atas tetapi salah satu mungkin datang terlebih dulu atau mereka muncul secara serentak.

Apabila puan mengalami tanda-tanda di atas, puan dinasihatkan tidak memakan makanan sebelum puan ke hospital. Keadaan ini penting kerana makanan yang dimakan sewaktu kesakitan dalam proses bersalin tidak dihadamkan dan tidak diserapkan. Proses penghadaman dan penyerapan makanan berlaku dengan lambat sekali apabila seseorang berada dalam kesakitan proses bersalin.

Ada juga salah faham mengenai cara mendapat tenaga untuk meneran apabila seseorang ibu itu makan sewaktu sakit untuk bersalin. Pemakanan yang tidak hadam boleh membahayakan ibu jika kelahiran dibuat secara pembedahan atau ada komplikasi yang memerlukan pembiusan umum (general anaesthesia).

Credit: Kini2u

Cara / makanan menambahkan susu ibu

Makanan harian yang boleh menambahkan/membanyakkan susu ibu


Saja-saja nak kongsi makanan-makanan yang boleh membantu ibu-ibu menyusu menambah susu badan.
Antaranya:
1.  Kekacang
2. Kerang
4. Kurma — direbus dan diminum airnya.
5. Pegaga
6. Lobak putih
7. Longan
8. Asas Kacang soya- tempe, tauhu, minuman soya

Teknik/ cara menambahkan susu ibu


1. Menyusu (direct feed) atau Pam lah susu sekerap yang boleh. FEEDING IS ON DEMAND. Dan Konsep demand & supplyNamun sebagai panduan: every 1 1/2? – 2 hours sewaktu siang dan every 3 hours mesti kejutkan baby utk menyusu. Jika pam, Walaupun hanya dapat 1 oz, its ok. teruskan mengepam dan menyimpan. Lebih bnyk demand, lebih bnyk supply.

2. Susuilah baby kedua2 belah payudara sehingga baby sendiri yang melepaskan puting setelah dia tertidur kekenyangan. Ini akan meransang lebih bnyk penghasilan susu.

3. Walaupun digalakkan ibu direct feed baby mereka, namun jika ada yg tidak dapat berbuat demikian kerana kerja dsb, pam lah dengan menggunakan pam yg baik dan hospital grade kerana ianya membantu ibu2 yang menyusukan anak secara eksklusif. Ini diakui ramai. Pilihlah pam yang berbaloi walaupun agak mahal.

4. Pastikan baby meet all his sucking needs atau menghisap pd kadar maksimum pada payudara. Didapati ada bayi yang gemar menggonggong, sukar lepaskan puting mamanya. Biarkan si manja menghisap as this will help to stimulate mom’s supply. JANGAN/JAUHI puting/pacifier atau dummies.

5. Dinasihatkan tidak introduce baby kepada makanan tambahan, jus2, air masak atau buah buahan kepada bayi berumur kurang 6 bulan, kerana apabila baby mendapat makanan tambahan, bayi akan kurang menyusu dan ini sekaligus akan mengurangkan stimulation pd breast si ibu. Jika anda khuatir adakah si anak cukup susu ibu dr payudara, anda boleh lihat diaper baby dan kekerapan baby buang air kecil atau besar.

6. Dari segi penjagaan si ibu pula, rehatlah sekucupnya. Jauhi stres kerana stres akan menyebabkan hormon oksitosin terencat, sekaligus merencat pemancutan susu ibu. Bawa bayi tidur bersama anda setiap masa anda dengan bayi (hari cuti) as proven skin to skin contact akan encourage baby utk menyusu sekerap mungkin.

Credit: Kini2u

Saturday 13 October 2012

Petunjuk kesihatan

SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.

Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.

Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.

Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.

“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.

Tahap

“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.

“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.

“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.

Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.

ZAKAR akan menegang jika kedua-dua tisu korpus kavernosum dipenuhi darah.
Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.

Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.
“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.
Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.

Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.

Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.

“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.

Sumber: Kini2u

Tanggungjawab suami uruskan rumah?

Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)

SOALAN:
Saya membaca sebuah buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karangan Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga, tahun 1981, halaman 184-185. Buku ini menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.

Jika isteri melakukan semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.

Soalan saya, benarkah pendapat ini? Setahu saya apa yang disebutkan itu bertentangan dengan amalan dalam masyarakat Melayu hari ini. Saya harap tuan jelaskan kewajipan sebenar suami, isteri sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. – SALMIAH, Seksyen 14, Petaling Jaya.

JAWAPAN:

Saya turut membaca buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor seperti yang disebutkan dalam soalan di atas. Buku ini merupakan himpunan fatwa Almarhum Datuk Syed Alawi al-Haddad (meninggal dunia 1962). Beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Johor (1934-1961). Pada saya, fatwa mufti itu kurang jelas menyatakan tanggungjawab siapa menjalankan kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak, menyediakan makanan, mengasuh anak, menyidai kain dan sebagainya.

Saya membaca lagi beberapa buah buku yang ada dalam simpanan saya untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang perkara itu. Saya dapati, kebanyakan menyatakan kerja-kerja rumah seperti yang disebutkan di atas adalah tanggungjawab suami.

Saya tersentak seketika apabila membaca kerja-kerja seperti itu termasuk dalam senarai kewajipan suami terhadap isteri, di samping nafkah utama yang meliputi makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan.

Kewajipan isteri pula dinyatakan ialah melayani kehendak suami dan menyerahkan tubuh badan kepadanya serta menyahut panggilannya dengan segera bila diperlukan, sekalipun ketika dia sedang memasak di dapur.

Buku-buku itu antara lain menjelaskan lagi, isteri tidak harus berpuasa sunat, kecuali terlebih dahulu memaklum dan mendapat keizinan suami, kerana khuatir nanti suatu panggilan kecemasan akan berlaku, sedangkan dia tidak dapat menyahutnya kerana berpuasa. Dinyatakan lagi, jika isteri tidur bermalaman, sedangkan dia dengan sengaja tidak melayani kehendak suaminya, maka sepanjang malam itu dia dilaknat Allah dan malaikat.

Kesetiaan isteri terhadap kehendak suami semacam boleh ditafsirkan dengan ada bayarannya, iaitu kerja-kerja rumah seperti mengasuh anak, memasak, membasuh pakaian, menyidai kain dan sebagainya hendaklah dijalankan oleh suami. Kecuali jika isteri dengan rela hati sedia melakukannya.

Saya tidak mempertikaikan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh al-Quran dan hadis-hadis sahih berhubung kewajipan suami terhadap isteri, seperti nafkah makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan yang wajib ke atas suami menyempurnakannya. Manakala kewajipan isteri terhadap suaminya pula hendaklah melayani sepenuhnya kehendak suami sebaik sahaja panggilan dibuat.

Persoalan yang berbangkit ialah mengenai kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak, mengasuh anak, menyidai pakaian dan sebagainya, benarkah ia termasuk antara tugas suami? Isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela atau suami sendiri menyempurnakannya sebagai tanggungjawab terhadap isteri. Begitulah apa yang saya faham daripada buku-buku yang saya baca.

Saya berpendapat hukum ini adalah hasil ijtihad ulama pada beberapa abad terdahulu. Ijtihad boleh berubah dari masa ke masa mengikut perubahan zaman, keadaan dan tempat. Ijtihad ulama juga tidak selalunya tepat dan betul, kadang-kadang boleh disanggah oleh ulama melalui ijtihadnya yang dihasilkan pada waktu dan masa yang lain pula. Dalam hadis menyebut: Sesiapa yang silap dalam ijtihadnya maka ia memperoleh satu pahala dan siapa yang betul, akan mendapat dua pahala.

Menurut mazhab Imam Malik, uruf dan kebiasaan dalam sesebuah masyarakat boleh dipakai bagi menurunkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya jika dia suka, tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut boleh dijadikan hujah:
Pertama: Allah berfirman kepada para isteri yang membawa maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa (al-Baqarah: 228). Ini bermakna suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Saya beranggapan tidak adil jika urusan yang dilakukan di luar rumah seperti mencari nafkah makan minum, kediaman, pakaian, perubatan menjadi kewajipan suami sepenuhnya, kemudian kerja-kerja di dalam rumah juga menjadi kewajipan suami. Isteri seolah-olah tiada sebarang kerja, selain melayan suami dengan tubuh badannya sahaja. Cara yang lebih adil ialah kerja-kerja di luar rumah menjadi kewajipan suami, sementara dalam rumah pula hendaklah diambil tanggungjawab oleh isteri.

Kedua: Dalam pergaulan sesama manusia dan juga keluarga, setiap hak yang wajib ditunai hendaklah ada balasan yang diterima. Suami dipertanggungjawab memberi nafkah dengan jalan yang terbaik, seperti yang dinyatakan terdahulu. Apakah hak ini telah dibalas oleh isteri dengan cara yang terbaik juga seperti yang sepatutnya? Apakah kewajipan menyara hidup yang disempurnakan oleh suami terhadap isteri dan anak-anaknya itu dianggap sebagai percuma dan tidak perlu dibalas apa-apa? Islam dan juga budaya Melayu tidak menyatakan begitu.

Mungkin ada orang menjawab, tubuh badan isteri yang diserah kepada suami itu sendiri bayarannya. Suami berhak mendapat kepuasan sesuka hati dan pada bila-bila waktu sahaja. Alasan ini boleh ditolak dengan mudah, kerana kepuasan itu bukan hak suami semata-mata, tetapi hak bersama.
Jika tubuh badan isteri dianggap hak suami, maka tubuh badan suami juga boleh dianggap hak isteri. Sesetengah orang menyebutnya sebagai nafkah batin yang wajib disempurna oleh suami, sekalipun saya tidak setuju dengan istilah nafkah batin itu.

Ketiga: Suami dikira sebagai qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri, dengan itu isteri hendaklah menjaga kepentingan suaminya. Jika suami bertanggungjawab dengan memasak dan membasuh pakaian isteri, bermakna isteri sebagai pengawal suami. Ini bertentangan dengan maksud ayat 34 surah al-Nisa. Oleh itu jalan yang paling serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah, manakala suami hanya membantu.

Mungkin ada suami yang bersedia melakukan kerja-kerja itu. Ada suami yang sangat berminat dengan kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, sementara isteri pula berminat dengan kerja-kerja di luar rumah seperti berniaga dan sebagainya. Amalan ini tidak salah dari segi hukum jika suami isteri rela dengan cara itu.

Keempat: Banyak riwayat menyatakan kehidupan harian para sahabat sebagai suami atau isteri, masing-masing memberi khidmat dan bantu-membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma’ binti Abu Bakar, isteri al-Zubayr Ibn al-Awwam, selalu membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkut air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Tidak pula kedengaran Baginda Rasulullah melarang Asma’ berbuat demikian dengan alasan semuanya itu adalah kewajipan suami.

Fatimah al-Zahra, isteri Ali Abu Talib dan puteri Nabi, juga melakukan sendiri kerja-kerja memasak dan membakar roti, menyediakan makanan dan mengisar tepung, sehingga menjadi pecah-pecah pada tangannya. Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah atau khadimah.

Tetapi Nabi menyuruh agar Fatimah terus melakukan sendiri kerja-kerja itu. Baginda tidak pula mengatakan, serah saja kepada Ali, kerana itu tanggungjawabnya sebagai suami.

Mungkin ada orang menjawab, sumbangan Fatimah yang membuat kerja-kerja rumah itu hanya sukarela, bukan sebagai kewajipan atau tugas. Saya katakan, kerja-kerja itu adalah kewajipan Fatimah bukannya sukarela, kerana Nabi tidak menerima cadangannya untuk mendapatkan pembantu rumah bagi menjalankan tugas-tugas itu.

Jawapan Rasulullah s.a.w. kepada puterinya Fatimah adalah suatu perakuan yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri. Dalam ilmu Mustalah Hadis, perakuan ini disebut taqrir (perakuan Nabi).

Saya berasa penting juga dinyatakan di sini bahawa tugas isteri pada hakikatnya ditentukan oleh adat resam dan budaya hidup sesuatu bangsa itu sendiri. Masyarakat Melayu telah mewarisi satu budaya yang agak kukuh, iaitu kerja-kerja berat yang biasanya menjadi kewajipan suami, manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi tanggungjawab isteri.

Ditakdirkan ada isteri merasakan adat dan budaya Melayu ini tidak perlu lagi dipertahankan, sudah tiba masanya lelaki dan wanita disamakan. Suami harus menyediakan sendiri makan minumnya, membasuh dan mencuci sendiri pakaiannya. Bagaimana pula jika dia kesuntukan masa untuk melakukan kerja-kerja itu, lalu menyerahkannya kepada pembantu rumah atau orang gaji? Tidakkah hati tersentuh melihat orang lain berada di samping suami kerana menyediakan makan minum dan mencuci pakaian dan menyentuh barang-barang yang akrab dengannya?

Adat resam dan budaya Melayu tidak pernah menerima cara itu. Janggal sekali jika orang yang tidak ada kena-mengena itu bebas melakukan apa sahaja yang disukainya.

oleh :
Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)

Sumber : Kini2U