Showing posts with label lslam. Show all posts
Showing posts with label lslam. Show all posts

Saturday, 13 October 2012

Tanggungjawab suami uruskan rumah?

Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)

SOALAN:
Saya membaca sebuah buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karangan Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga, tahun 1981, halaman 184-185. Buku ini menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.

Jika isteri melakukan semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.

Soalan saya, benarkah pendapat ini? Setahu saya apa yang disebutkan itu bertentangan dengan amalan dalam masyarakat Melayu hari ini. Saya harap tuan jelaskan kewajipan sebenar suami, isteri sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. – SALMIAH, Seksyen 14, Petaling Jaya.

JAWAPAN:

Saya turut membaca buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor seperti yang disebutkan dalam soalan di atas. Buku ini merupakan himpunan fatwa Almarhum Datuk Syed Alawi al-Haddad (meninggal dunia 1962). Beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Johor (1934-1961). Pada saya, fatwa mufti itu kurang jelas menyatakan tanggungjawab siapa menjalankan kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak, menyediakan makanan, mengasuh anak, menyidai kain dan sebagainya.

Saya membaca lagi beberapa buah buku yang ada dalam simpanan saya untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang perkara itu. Saya dapati, kebanyakan menyatakan kerja-kerja rumah seperti yang disebutkan di atas adalah tanggungjawab suami.

Saya tersentak seketika apabila membaca kerja-kerja seperti itu termasuk dalam senarai kewajipan suami terhadap isteri, di samping nafkah utama yang meliputi makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan.

Kewajipan isteri pula dinyatakan ialah melayani kehendak suami dan menyerahkan tubuh badan kepadanya serta menyahut panggilannya dengan segera bila diperlukan, sekalipun ketika dia sedang memasak di dapur.

Buku-buku itu antara lain menjelaskan lagi, isteri tidak harus berpuasa sunat, kecuali terlebih dahulu memaklum dan mendapat keizinan suami, kerana khuatir nanti suatu panggilan kecemasan akan berlaku, sedangkan dia tidak dapat menyahutnya kerana berpuasa. Dinyatakan lagi, jika isteri tidur bermalaman, sedangkan dia dengan sengaja tidak melayani kehendak suaminya, maka sepanjang malam itu dia dilaknat Allah dan malaikat.

Kesetiaan isteri terhadap kehendak suami semacam boleh ditafsirkan dengan ada bayarannya, iaitu kerja-kerja rumah seperti mengasuh anak, memasak, membasuh pakaian, menyidai kain dan sebagainya hendaklah dijalankan oleh suami. Kecuali jika isteri dengan rela hati sedia melakukannya.

Saya tidak mempertikaikan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh al-Quran dan hadis-hadis sahih berhubung kewajipan suami terhadap isteri, seperti nafkah makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan yang wajib ke atas suami menyempurnakannya. Manakala kewajipan isteri terhadap suaminya pula hendaklah melayani sepenuhnya kehendak suami sebaik sahaja panggilan dibuat.

Persoalan yang berbangkit ialah mengenai kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak, mengasuh anak, menyidai pakaian dan sebagainya, benarkah ia termasuk antara tugas suami? Isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela atau suami sendiri menyempurnakannya sebagai tanggungjawab terhadap isteri. Begitulah apa yang saya faham daripada buku-buku yang saya baca.

Saya berpendapat hukum ini adalah hasil ijtihad ulama pada beberapa abad terdahulu. Ijtihad boleh berubah dari masa ke masa mengikut perubahan zaman, keadaan dan tempat. Ijtihad ulama juga tidak selalunya tepat dan betul, kadang-kadang boleh disanggah oleh ulama melalui ijtihadnya yang dihasilkan pada waktu dan masa yang lain pula. Dalam hadis menyebut: Sesiapa yang silap dalam ijtihadnya maka ia memperoleh satu pahala dan siapa yang betul, akan mendapat dua pahala.

Menurut mazhab Imam Malik, uruf dan kebiasaan dalam sesebuah masyarakat boleh dipakai bagi menurunkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya jika dia suka, tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut boleh dijadikan hujah:
Pertama: Allah berfirman kepada para isteri yang membawa maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa (al-Baqarah: 228). Ini bermakna suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Saya beranggapan tidak adil jika urusan yang dilakukan di luar rumah seperti mencari nafkah makan minum, kediaman, pakaian, perubatan menjadi kewajipan suami sepenuhnya, kemudian kerja-kerja di dalam rumah juga menjadi kewajipan suami. Isteri seolah-olah tiada sebarang kerja, selain melayan suami dengan tubuh badannya sahaja. Cara yang lebih adil ialah kerja-kerja di luar rumah menjadi kewajipan suami, sementara dalam rumah pula hendaklah diambil tanggungjawab oleh isteri.

Kedua: Dalam pergaulan sesama manusia dan juga keluarga, setiap hak yang wajib ditunai hendaklah ada balasan yang diterima. Suami dipertanggungjawab memberi nafkah dengan jalan yang terbaik, seperti yang dinyatakan terdahulu. Apakah hak ini telah dibalas oleh isteri dengan cara yang terbaik juga seperti yang sepatutnya? Apakah kewajipan menyara hidup yang disempurnakan oleh suami terhadap isteri dan anak-anaknya itu dianggap sebagai percuma dan tidak perlu dibalas apa-apa? Islam dan juga budaya Melayu tidak menyatakan begitu.

Mungkin ada orang menjawab, tubuh badan isteri yang diserah kepada suami itu sendiri bayarannya. Suami berhak mendapat kepuasan sesuka hati dan pada bila-bila waktu sahaja. Alasan ini boleh ditolak dengan mudah, kerana kepuasan itu bukan hak suami semata-mata, tetapi hak bersama.
Jika tubuh badan isteri dianggap hak suami, maka tubuh badan suami juga boleh dianggap hak isteri. Sesetengah orang menyebutnya sebagai nafkah batin yang wajib disempurna oleh suami, sekalipun saya tidak setuju dengan istilah nafkah batin itu.

Ketiga: Suami dikira sebagai qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri, dengan itu isteri hendaklah menjaga kepentingan suaminya. Jika suami bertanggungjawab dengan memasak dan membasuh pakaian isteri, bermakna isteri sebagai pengawal suami. Ini bertentangan dengan maksud ayat 34 surah al-Nisa. Oleh itu jalan yang paling serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah, manakala suami hanya membantu.

Mungkin ada suami yang bersedia melakukan kerja-kerja itu. Ada suami yang sangat berminat dengan kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, sementara isteri pula berminat dengan kerja-kerja di luar rumah seperti berniaga dan sebagainya. Amalan ini tidak salah dari segi hukum jika suami isteri rela dengan cara itu.

Keempat: Banyak riwayat menyatakan kehidupan harian para sahabat sebagai suami atau isteri, masing-masing memberi khidmat dan bantu-membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma’ binti Abu Bakar, isteri al-Zubayr Ibn al-Awwam, selalu membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkut air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Tidak pula kedengaran Baginda Rasulullah melarang Asma’ berbuat demikian dengan alasan semuanya itu adalah kewajipan suami.

Fatimah al-Zahra, isteri Ali Abu Talib dan puteri Nabi, juga melakukan sendiri kerja-kerja memasak dan membakar roti, menyediakan makanan dan mengisar tepung, sehingga menjadi pecah-pecah pada tangannya. Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah atau khadimah.

Tetapi Nabi menyuruh agar Fatimah terus melakukan sendiri kerja-kerja itu. Baginda tidak pula mengatakan, serah saja kepada Ali, kerana itu tanggungjawabnya sebagai suami.

Mungkin ada orang menjawab, sumbangan Fatimah yang membuat kerja-kerja rumah itu hanya sukarela, bukan sebagai kewajipan atau tugas. Saya katakan, kerja-kerja itu adalah kewajipan Fatimah bukannya sukarela, kerana Nabi tidak menerima cadangannya untuk mendapatkan pembantu rumah bagi menjalankan tugas-tugas itu.

Jawapan Rasulullah s.a.w. kepada puterinya Fatimah adalah suatu perakuan yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri. Dalam ilmu Mustalah Hadis, perakuan ini disebut taqrir (perakuan Nabi).

Saya berasa penting juga dinyatakan di sini bahawa tugas isteri pada hakikatnya ditentukan oleh adat resam dan budaya hidup sesuatu bangsa itu sendiri. Masyarakat Melayu telah mewarisi satu budaya yang agak kukuh, iaitu kerja-kerja berat yang biasanya menjadi kewajipan suami, manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi tanggungjawab isteri.

Ditakdirkan ada isteri merasakan adat dan budaya Melayu ini tidak perlu lagi dipertahankan, sudah tiba masanya lelaki dan wanita disamakan. Suami harus menyediakan sendiri makan minumnya, membasuh dan mencuci sendiri pakaiannya. Bagaimana pula jika dia kesuntukan masa untuk melakukan kerja-kerja itu, lalu menyerahkannya kepada pembantu rumah atau orang gaji? Tidakkah hati tersentuh melihat orang lain berada di samping suami kerana menyediakan makan minum dan mencuci pakaian dan menyentuh barang-barang yang akrab dengannya?

Adat resam dan budaya Melayu tidak pernah menerima cara itu. Janggal sekali jika orang yang tidak ada kena-mengena itu bebas melakukan apa sahaja yang disukainya.

oleh :
Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)

Sumber : Kini2U

Saturday, 29 September 2012

Falsafah perkahwinan menurut Islam

Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamupasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya.Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah."

(Surah al-Rum, ayat 21)

Alam ini terasa indah kerana Allah menciptakannya berpasang-pasangan. Ada siang,ada pula malam. Ada tempat yang subur, ada pula yang tandus. Ada gunung-ganang yang tinggi tapi ada juga lembah dan lurah yang dalam. Ada lelaki dan ada pula perempuan. Allah menciptakan pasangan untuk manusia agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri, dugaan, tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan keluarga sakinah mardatillah.

Selain ketenangan di dalam pernikahan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri. Sebahagian ahli tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah ini. Bagi mereka, mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri yang akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia. Mawaddah atau keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri ini ada hadnya seiring dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur 60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang yang suci murni di hati pasangan
berkenaan.

Menurut Prof Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas.
Pada masa ini mereka bukan lagi berfikir mengenai tongkat ali, Viagra dan ubat-ubat lain bagi mengembalikan kekuatan tenaga batin tetapi yang mereka inginkan adalah mengisi hari-hari akhir ini dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya secara bersama-sama.

Mereka juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan dan nasihat kepada anak cucu supaya mereka tidak salah dalam memilih jalan hidup di dunia yang penuh dugaan ini. Inilah hakikat rahmah itu.

Melihat kes yang terjadi di negara kita, di mana dilaporkan sudah banyak terjadi pasangan tua yang berpisah kerana ingin bernikah dengan yang lebih muda, maka dapat dikatakan bahawa terjadi krisis rahmah dalam perkahwinan hinggakan hubungan
seks menjadi matlamat. Pada saat ini, seakan-akan Allah hanya memberikan kepada kita mawaddah tetapi mencabut nikmat rahmah. Akibatnya, kes-kes seperti di atas semakin menjadi-jadi dan kebahagiaan rumah tangga semakin jauh.

Allah akan menurunkan rahmah di dalam satu keluarga apabila keluarga berkenaan dibina atas niat mencari keredaan Allah. Oleh sebab itu, di dalam proses membina satu rumah tangga, Rasulullah memberikan bimbingan kepada umat Islam agar memilih Pasangan kerana empat prinsip, iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya. Akan tetapi Rasulullah memberatkan agar agama menjadi keutamaan.

Ada kalanya orang memilih pasangan kerana kecantikan dan kekayaan sehingga mereka lupa bahawa kecantikan dan harta bersifat sementara. Begitu juga dengan keturunan dan nasab tidak selamanya menjamin kebahagiaan. Oleh sebab itulah, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agama sebab kekurangan dalam rupa, harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh agama.

Wanita yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan yang lahir dari jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang diselaputi solekan. Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat qana'ah, iaitu berasa cukup dengan yang mereka miliki dan tidak terlalu memaksa diri untuk mencapai sesuatu. Sifat inilah yang dikatakan oleh ahli tasawuf dengan kekayaan yang sebenarnya.

Agama pula membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa."

Oleh itu, keluarga yang dibina atas dasar agama ini akan memiliki matlamat yang jelas. Bagi mereka, hidup di dunia ini hanyalah satu jalan menuju kehidupan akhirat yang abadi sehingga apa pun yang mereka lakukan dalam keluarga itu tidak keluar daripada tujuan asal untuk mencipta keluarga sakinah yang diredai Allah dan berjuang untuk menegakkan agama Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.

Dalam keluarga Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu ibadah yang bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh. Keluarga yang soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas
bagi negara yang soleh, bertamaddun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.

Salah satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai alat mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata. Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan.

Sumber: Rahsia Keluarga Bahagia

Mandi Bersama - Amalan Rasulullah S.A.W

Pernahkah anda mandi bersama-sama isteri/suami anda? Kalau belum, anda patut mencubanya. Mandi bersama dengan saling jirus-menjirus serta gosok-menggosok dan sebagainya adalah amalan yang cukup bermakna dalam kehidupan suami isteri.
Insyallah mandi bersama-sama ini dapat mengukuhkan lagi rasa kasih suami isteri. Amalan ini bukan petua yang datang dari orang zaman dulu, bukan juga saranan tokoh motivasi, tetapi ia adalah amalan Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam –manusia paling agung dan paling mulia di atas muka bumi ini.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan yang bermaksud : "Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)" (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)
Hadis ini menunjukkan bagaimana indah dan romantiknya Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Mandi yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi biasa sahaja, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai mandi wajib.
Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan; "Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub." (Sahih Muslim : 482)
Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. 
Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah (Sahih Muslim : 498). Demikianlah romantiknya Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam.
Selain itu, sambil-sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurai senda, dan berseronok. Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam sendiri pernah mandi bersama sambil bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239).
Bahkan aktiviti mandi manda bersama ini juga boleh menjadi aktiviti kemesraan intim yang amat menyeronokkan. Dalam suasana berdua dalam satu tempat mandi, dan dalam suasana sejuk itu tentunya suami isteri akan terdorong untuk lebih mesra dan intim. 
Demikianlah hebatnya cinta Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam. Kita sebagai umatnya amat wajar menjadikannya sebagai petunjuk dan pengajaran. Jika Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam menyuburkan kasih melalui mandi bersama, mengapa kita tidak boleh lakukannya. Alangkah malangnya jika perasaan malu tidak bertempat menghalang kita untuk mencontohi amalan Rasulullah SAW ini dalam rumahtangga kita sendiri.
Selain itu, anggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mandi bersama-sama dengan isteri merupakan amalan tidak sopan, merupakan satu anggapan yang salah dan tersasar dari ajaran Islam. Mandi bersama ini secara tidak langsung akan menimbulkan rasa dihargai bagi isteri dan seterusnya menambahkan lagi kasihnya kepada suami. Bagi suami pula, amalan ini dapat meringankan tekanan kerja di samping menimbulkan ketenangan hasil kegembiraan yang dirasai oleh isteri.
Bagi suami, usahlah malu untuk mengajak isteri mandi bersama. Janganlah menyangka bahawa mandi bersama isteri akan menjatuhkan martabat anda sebagai seorang suami yang menjadi ketua keluarga. Ingatlah, jika Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam sendiri melakukannya, tentu tersirat seribu macam kelebihan di dalam amalan ini.
Bagi isteri pula, janganlah menolak apabila di ajak oleh suami mereka untuk mandi bersama. Lihatlah Aisyah dan Ummu Salamah yang tidak menolak ajakan Nabi SAW untuk mandi bersama-sama. Bahkan, dilihat bahawa Aisyah amat berbangga dan gembira dengan tindakan Nabi yang mandi dengannya sehingga sanggup menceritakan hal ini. Jika tidak, masakan kisah ini dibukukan dalam kitab-kitab hadis.

Sumber:iluvislam.com -