Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah untuk
mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang
bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa
Dia jadikan bagi kamupasangan hidup agar kamu mendapatkan
ketenangan/kebahagiaan bersamanya.Kemudian Allah ciptakan di antara kamu
berdua mawaddah dan rahmah."
(Surah al-Rum, ayat 21)
Alam
ini terasa indah kerana Allah menciptakannya berpasang-pasangan. Ada
siang,ada pula malam. Ada tempat yang subur, ada pula yang tandus. Ada
gunung-ganang yang tinggi tapi ada juga lembah dan lurah yang dalam. Ada
lelaki dan ada pula perempuan. Allah menciptakan pasangan untuk manusia
agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta
tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri,
dugaan, tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan
keluarga sakinah mardatillah.
Selain ketenangan di dalam
pernikahan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan
isteri. Sebahagian ahli tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah
ini. Bagi mereka, mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat
kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri yang
akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia. Mawaddah atau
keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri ini ada hadnya seiring
dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur
60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan
berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau
kasih sayang yang suci murni di hati pasangan
berkenaan.
Menurut
Prof Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab
ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan
keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari
jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang
tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas.
Pada masa ini
mereka bukan lagi berfikir mengenai tongkat ali, Viagra dan ubat-ubat
lain bagi mengembalikan kekuatan tenaga batin tetapi yang mereka
inginkan adalah mengisi hari-hari akhir ini dengan beribadah dan
mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya secara bersama-sama.
Mereka
juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan dan nasihat kepada
anak cucu supaya mereka tidak salah dalam memilih jalan hidup di dunia
yang penuh dugaan ini. Inilah hakikat rahmah itu.
Melihat kes
yang terjadi di negara kita, di mana dilaporkan sudah banyak terjadi
pasangan tua yang berpisah kerana ingin bernikah dengan yang lebih muda,
maka dapat dikatakan bahawa terjadi krisis rahmah dalam perkahwinan
hinggakan hubungan
seks menjadi matlamat. Pada saat ini, seakan-akan
Allah hanya memberikan kepada kita mawaddah tetapi mencabut nikmat
rahmah. Akibatnya, kes-kes seperti di atas semakin menjadi-jadi dan
kebahagiaan rumah tangga semakin jauh.
Allah akan menurunkan
rahmah di dalam satu keluarga apabila keluarga berkenaan dibina atas
niat mencari keredaan Allah. Oleh sebab itu, di dalam proses membina
satu rumah tangga, Rasulullah memberikan bimbingan kepada umat Islam
agar memilih Pasangan kerana empat prinsip, iaitu kecantikan,
keturunan, kekayaan dan agamanya. Akan tetapi Rasulullah memberatkan
agar agama menjadi keutamaan.
Ada kalanya orang memilih pasangan
kerana kecantikan dan kekayaan sehingga mereka lupa bahawa kecantikan
dan harta bersifat sementara. Begitu juga dengan keturunan dan nasab
tidak selamanya menjamin kebahagiaan. Oleh sebab itulah, Rasulullah
menyuruh memilih pasangan kerana agama sebab kekurangan dalam rupa,
harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh agama.
Wanita
yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan yang lahir dari
jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang
diselaputi solekan. Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat
qana'ah, iaitu berasa cukup dengan yang mereka miliki dan tidak terlalu
memaksa diri untuk mencapai sesuatu. Sifat inilah yang dikatakan oleh
ahli tasawuf dengan kekayaan yang sebenarnya.
Agama pula
membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain, bukan kerana
keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang
paling takwa."
Oleh itu, keluarga yang dibina atas dasar agama
ini akan memiliki matlamat yang jelas. Bagi mereka, hidup di dunia ini
hanyalah satu jalan menuju kehidupan akhirat yang abadi sehingga apa pun
yang mereka lakukan dalam keluarga itu tidak keluar daripada tujuan
asal untuk mencipta keluarga sakinah yang diredai Allah dan berjuang
untuk menegakkan agama Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.
Dalam
keluarga Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan
sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu ibadah yang
bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh. Keluarga yang
soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas
bagi negara yang soleh, bertamaddun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.
Salah
satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat
mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai alat
mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat
semata-mata. Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah
keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah
perkahwinan.
Sumber:
Rahsia Keluarga Bahagia