Pernahkah
anda mandi bersama-sama isteri/suami anda? Kalau belum, anda patut
mencubanya. Mandi bersama dengan saling jirus-menjirus serta
gosok-menggosok dan sebagainya adalah amalan yang cukup bermakna dalam
kehidupan suami isteri.
Insyallah
mandi bersama-sama ini dapat mengukuhkan lagi rasa kasih suami isteri.
Amalan ini bukan petua yang datang dari orang zaman dulu, bukan juga
saranan tokoh motivasi, tetapi ia adalah amalan Rasulullah sallallahi
'alaihi wa sallam –manusia paling agung dan paling mulia di atas muka
bumi ini.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan yang bermaksud : "Daripada
Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW
daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika
menggunakan air dalam bekas itu)" (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)
Hadis ini menunjukkan bagaimana indah dan romantiknya Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Mandi
yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi
biasa sahaja, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai
mandi wajib.
Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan; "Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub." (Sahih Muslim : 482)
Mandi
bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil
mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik
yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan.
Nabi
SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama
semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika
sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut
Aisyah (Sahih Muslim : 498). Demikianlah romantiknya Rasulullah
sallallahi 'alaihi wa sallam.
Selain
itu, sambil-sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurai senda,
dan berseronok. Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam sendiri pernah
mandi bersama sambil bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air,
dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana
sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan
untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai :
239).
Bahkan
aktiviti mandi manda bersama ini juga boleh menjadi aktiviti kemesraan
intim yang amat menyeronokkan. Dalam suasana berdua dalam satu tempat
mandi, dan dalam suasana sejuk itu tentunya suami isteri akan terdorong
untuk lebih mesra dan intim.
Demikianlah
hebatnya cinta Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam. Kita sebagai
umatnya amat wajar menjadikannya sebagai petunjuk dan pengajaran. Jika
Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam menyuburkan kasih melalui mandi
bersama, mengapa kita tidak boleh lakukannya. Alangkah malangnya jika
perasaan malu tidak bertempat menghalang kita untuk mencontohi amalan
Rasulullah SAW ini dalam rumahtangga kita sendiri.
Selain
itu, anggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mandi
bersama-sama dengan isteri merupakan amalan tidak sopan, merupakan satu
anggapan yang salah dan tersasar dari ajaran Islam. Mandi bersama ini
secara tidak langsung akan menimbulkan rasa dihargai bagi isteri dan
seterusnya menambahkan lagi kasihnya kepada suami. Bagi suami pula,
amalan ini dapat meringankan tekanan kerja di samping menimbulkan
ketenangan hasil kegembiraan yang dirasai oleh isteri.
Bagi
suami, usahlah malu untuk mengajak isteri mandi bersama. Janganlah
menyangka bahawa mandi bersama isteri akan menjatuhkan martabat anda
sebagai seorang suami yang menjadi ketua keluarga. Ingatlah, jika
Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam sendiri melakukannya, tentu
tersirat seribu macam kelebihan di dalam amalan ini.
Bagi
isteri pula, janganlah menolak apabila di ajak oleh suami mereka untuk
mandi bersama. Lihatlah Aisyah dan Ummu Salamah yang tidak menolak
ajakan Nabi SAW untuk mandi bersama-sama. Bahkan, dilihat bahawa Aisyah
amat berbangga dan gembira dengan tindakan Nabi yang mandi dengannya
sehingga sanggup menceritakan hal ini. Jika tidak, masakan kisah ini
dibukukan dalam kitab-kitab hadis.
Sumber:iluvislam.com -
Sumber:iluvislam.com -
No comments:
Post a Comment