Friday 16 November 2012

Pengantin berprestij

pix_gal0
Aksi liuk tubuh pasangan ini tangkas dan sentiasa mendapat perhatian ketika di gelanggang badminton sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Kemunculan Datuk Lee Chong Wei, 30, khususnya amat dinanti. Malah ada yang sanggup melekat di depan kaca televisyen dengan memberi sokongan, sorakan, tepukan dan menanti penuh debaran setiap kali pukulan maut menentang pihak lawan. Bakatnya hebat mengharumkan nama negara di mata dunia.
Namun, sorakan dan tepukan diberikan minggu lalu, lebih eksklusif apabila jaguh badminton dunia, Chong Wei dan pemain badminton kebangsaan, Datin Wong Mew Choo, 29, diraikan dalam satu majlis perkahwinan serba mewah dan romantik. Suasana bagaikan di alam fantasi, dua merpati dua sejoli itu yang lazimnya dilihat dengan kemeja T dan berseluar pendek di gelanggang, tetapi malam itu, tampil penuh segak bergaya dan anggun menawan sempena detik bersejarah cinta yang disulam sejak bertahuntahun bersatu serta disaksikan tetamu di Dewan utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


Majlis perkahwinan glamor, mewah dan romantik itu dikatakan acara perkahwinan paling mahal dalam sejarah sukan negara. Persalinan rasmi perkahwinan Chong Wei dengan Mew Choo saja dianggarkan bernilai lebih RM 1.25 juta atas tajaan butik fesyen busana pengantin terkemuka, DL Fashion.

Malah, sebelum kemunculan dua mempelai ke dewan utama, lebih 1,000 tetamu yang hadir kagum dengan suasana dekorasi luar dan dalam dewan yang penuh kemewahan. Pintu masuk dewan ternyata nampak gah dengan gantungan lapisan langsir mengurai rona putih krim sebagai menyambut kehadiran tetamu.

Perunding perkahwinan yang bertanggung jawab menyiapkan persiapan, Danniel Tan dari DL Couture, berkata bukan itu saja, tetapi bagi menyerlahkan suasana romantik majlis itu, permaidani merah dibentangkan dari luar hingga ke dalam dewan dan terus ke meja santapan turut diserikan dengan harum semerbak gubahan bunga mawar segar dengan rona lembut.

"Warna ungu, merah jambu dan putih menjadi pilihan kedua mempelai sebagai lambang keagungan cinta pasangan ini. Lebih indah membawa tetamu ke alam fantasi yang agung, majlis diserikan dengan pencahayaan daripada lampu chandelier kristal yang digantung pada siling dewan.
"Lebih meriah menghidupkan suasana itu apabila ada lampu kristal yang bercahaya bagaikan air hujan mengalir.

"Pemilihan konsep itu sebagai simbol kepada kebahagiaan pasangan pengantin yang sudah menyulam cinta sejak 11 tahun lalu. Ia juga memberi mood kepada mereka yang baru saja memasuki alam rumah tangga dengan majlis perkahwinan serba mewah," katanya.

Majlis penuh memori pasangan ini diserikan lagi dengan keberangkatan Yang diPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun, berkenan menghadiri majlis berkenaan.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan beberapa menteri kabinet.

Sebelum pasangan mempelai masuk menyerikan dewan, terdahulu, Chong Wei dan Mew Choo menyampaikan cenderamata kepada Yang diPertuan Agong dan Najib sebagai tanda terima kasih.

Lazimnya pada setiap majlis perkahwinan, pengantin perempuan paling mendapat perhatian kerana gaun pengantin nan anggun dengan perincian lebih gah berbanding pengantin lelaki yang kebiasaannya menyarung sut lengkap sama ada rona gelap, hitam ataupun cerah, daripada rona krim mahupun putih.

Pada acara prestij itu, mata tetamu lantas menoleh ke pintu masuk utama apabila Chong Wei dan isteri melangkah masuk dengan menggayakan koleksi pengantin direka oleh Daniel dan Leslie dari butik DL Couture Sdn Bhd.

Mew Choo tampil penuh anggun dengan gaun pengantin meleret rona putih bersama tiara. Beliau tampak mewah apabila pereka fesyen menggunakan 10,000 batu kristal Swarovski dan diperindahkan lagi dengan sulaman manik Jepun pada bahagian bahu.

Potongan gaun pengantin Mew Choo ternyata berbeza daripada gaun pengantin lain kerana rekaan eksklusif pada bahagian leher ke bahu seakan koleksi pakaian wanita bangsawan masyarakat British pada zaman dulu kala. Potongan meleret sepanjang kira-kira lima meter itu pula dihasilkan daripada gabungan fabrik mewah antaranya sifon dan lace Perancis.

Chong Wei segak bergaya dengan sepasang tuxedo hitam dan tampak bersahaja menyarung kemeja putih dan eksklusifnya, mengenakan bow tie rona hitam berbelang kelabu.

Rekaan potongan tuxedo Chong Wei juga berbeza apabila ada lipatan menggunakan fabrik satin hitam pada bahagian kot.

Selain mendapat tumpuan pada gaun pengantin utama, acara memotong kek adalah saat paling dinantikan.

Dalam tidak sedar ketika tetamu menikmati hidangan, pasangan ini kembali semula memberi kejutan apabila memasuki dewan dengan busana lebih berbeza dan eksklusif.

Danniel berkata, rekaan gaun Mew Choo rona merah menyala dihasilkan dengan mengekalkan elemen dan kebudayaan masyarakat Cina. Rekaan gaun memotong kek lebih unik dan berbeza ia berdasarkan kepada potongan kertas pada bahagian kepak pada seluruh badan baju.

Chong Wei juga tidak ketinggalan apabila tampil dengan sut berbeza rona untuk acara memotong kek setinggi enam tingkat yang diletakkan di sebelah kanan pentas utama.

Mengukir sejarah, pasangan ini turut berkongsi memori mereka bersama tetamu dengan menayangkan video sebelum dan selepas pendaftaran perkahwinan mereka yang berlangsung di Golden Palm Tree Resort & Spa.

No comments:

Post a Comment